Monday, September 27, 2010

Mereka mengkaji..KITA???

Mereka mengkaji,kita takkan nak jadi macam lembu yang kena cucuk hidung.Ikut jer..kenapa tidak kita teruskan perjuangan kajian mereka??Kajian dari Barat!!!betulke semuanya???Kenapa kita yang ada banyak kebolehan tidak mula mengorak langkah mengkaji semula kajian mereka???Nak jadi LEMBU ker???(bahasa kasar biar senang nampak).Ikuti kisah tokoh ilmuan kita.Click read more.

Banu Musa yang terdiri daripada tiga orang beradik adalah saintis dan jurutera terulung semasa Zaman Keemasan Islam. Karya-karya mereka dalam bidang geometri dan kejuruteran menjadi rujukan sarjana-sarjana Eropah seperti Leonardo Fibonacci dan Roger Bacon.Muhammad, Ahmad dan al-Hasan, tiga orang bersaudara yang merupakan anak-anak Musa ibn Shakir yang umumnya dikenali sebagai Banu Musa adalah ahli sains yang paling utama di Baghdad pada kurun ke-9. Mereka telah memainkan peranan utama sebagai penaung persendirian bagi usaha penterjemahan dan kajian saintifik. Mereka mempamerkan kecemerlangan dalam bidang astronomi, mekanik dan matematik.







Agak mustahil untuk menulis biografi mereka secara berasingan. Bapa mereka, Musa ibn Shakir digambarkan sebagai seorang penyamun yang kemudiannya insaf dan menjadi ahli falak atau ahli nujum terkemuka dan menjadi teman rapat al-Ma'mun sebelum beliau menjadi khalifah ketika masih menetap di Merv, Khurasan. Selepas kematian Musa, tiga beradik tersebut dijaga oleh al-Ma'mun yang mengambil berat mengenai pendidikan mereka dan telah menghantar mereka ke Baitul Hikmah yang merupakan institusi saintifik utama pada masa tersebut.

Setelah menamatkan pendidikan mereka, Banu Musa bekerjasama dengan al-Ma'mun dan pewaris-pewarisnya dalam pelbagai kegiatan dari permasalahan saintifik (seperti tinjauan geodesik) hingga soal-soal pengurusan (seperti pembinaan bangunan awam) lalu menjadi kaya dan berkuasa. Ini menyebabkan mereka berpeluang mencurahkan keuntungan besar mereka untuk membiayai kajian saintifik. Mereka secara aktif mencari karya-karya klasik yang ditulis penulis-penulis zaman lampau dan menghantar agen-agen atau pergi sendiri ke Byzantium untuk membeli manuskrip yang diterjemahkan mereka semasa pulang ke Baghdad.

 Dalam satu perjalanan sebegitu, Muhammad ibn Musa ibn Shakir bertemu dengan ahli matematik dan penterjemah terkenal Thabit ibn Qurrah al-Harrani dan membawa beliau pulang ke Baghdad. Di Baghdad, Thabit menyertai lingkungan ahli sains dan penterjemah yang bekerja di bawah naungan Banu Musa. Seorang penganut Kristian mazhab Nestori yang bernama Hunain ibn Ishaq yang dianggap salah seorang penterjemah yang paling prolific dan utama di Baghdad pada kurun ke-9, juga adalah ahli kumpulan Banu Musa. Pendek kata, tiga beradik ini menggalakkan gerakan penterjemahan secara besar-besaran yang memungkinkan asimilasi karya-karya saintifik klasik yang utama ke dalam bahasa Arab. Kepentingan mereka terhadap sains dan astronomi tidak terhad pada tajaan terjemahan sahaja; seperti sarjana-sarjana berkumpul sekeliling mereka, Banu Musa juga mengarang karya-karya saintifik asli yang sangat penting. Satu senarai yang dikenali menyebutkan 20 buah buku yang ditulis mereka mengenai astronomi, mekanik dan matematik.






Hampir sedozen karya-karya yang dinisbahkan kepada Banu Musa adalah berkaitan dengan kajian astronomi. Anak sulung yang bernama Muhammad telah menulis sebuah buku mengenai kenampakan bulan sabit, sebuah buku mengenai permulaan dunia dan sebuah buku yang dikenali dengan pelbagai judul Kitab Harakat al-Aflak (Buku Mengenai Pergerakan Sfera Samawi), Kitab al-Hai'at (Buku Astronomi) atau Kitab Harakat al-Falak al-Ula (Buku Mengenai Pergerakan Pertama Sfera Samawi) yang mengandungi kritikan terhadap sistem semesta Ptolemy. Muhammad menerangkan di dalamnya pergerakan harian langit melalui putaran semua sfera seperti matahari, bulan, lima planet dan bintang-bintang tetap sambil menafikan kewujudan sfera ke-9 yang merupakan punca pergerakan dalam sistem Ptolemy. Ahmad dilaporkan mengarang Buku Mengenai Bukti Matematik Melalui Geometri Bahawa Tiada Sfera Ke-9 di luar Sfera Bintang-bintang Tetap, dua teks mengenai dua persoalan yang dibincangkan beliau dengan sarjana sezaman Sanad ibn Ali, dan satu zij (buku panduan astronomi) yang disebutkan ahli astronomi Mesir Ibn Yunus yang juga mengatakan bahawa terdapat zij lain yang ditulis tiga beradik ini.

Akhir sekali, karya-karya yang disenaraikan di bawah nama Banu Musa ialah: Buku Darjah Mengenai Fitrah Tanda-tanda Zodiak yang menyatakan bahawa buku ini adalah terjemahan satu karya Cina; Buku Mengenai Pembinaan Astrolab yang dipetik oleh al-Biruni, dan Buku Mengenai Tahun Suria. Buku yang terakhir ini secara tradisi dinisbahkan pada Thabit ibn Qurrah, namun kajian terkini menunjukkan bahawa ini hamper kepada salah nisbah dan bahawa karya tersebut sebenarnya ditulis oleh Banu Musa. Kebanyakan buku ini kini hilang; bagaimana pun, senarai judul dan kajian dalam karya-karya besar itu menunjukkan bahawa Banu Musa mempunyai perhatian utama terhadap astronomi dengan meluas pada zaman mereka. Malahan, minat Banu Musa terhadap astronomi juga dibuktikan oleh laporan-laporan bahawa adik beradik itu terlibat dalam pelbagai kegiatan seperti mengetuai pencerapan astronomi yang dijalankan di Baghdad semasa kurun ke-9 atau bekerjasama dalam ekspedisi yang dihantar al-Ma�mun untuk tujuan menjalankan pengukuran geodetik bagi panjang satu darjah sepanjang meridian bumi.






Banu Musa menghasilkan karya utama dalam bidang mekanik. Usaha mereka menunjukkan kemajuan penting berbanding karya para pendahulu mereka yang berbangsa Yunani: penulis-penulis seperti Philo of Byzantium (akhir kurun ke-3 S.M.) dan Hero of Alexandria (pertengahan kurun pertama) yang karya-karya mereka diketahui secara meluas oleh jurutera-jurutera Muslim. Banu Musa juga menulis banyak karya dalam bidang matematik, banyak antaranya menumpukan pada masalah geometri. Salah satu karya mereka yang penting, Buku Mengenai Pengukuran Satah dan Bentuk Sfera, adalah objek resensi oleh Nasir al-Din al-Tusi pada kurun ke-13 dan satu terjemahan dalam bahasa Latin oleh Gerard of Cremona pada kurun ke-12 dengan judul Liber trium fratrum de geometria dan Verba filiorum Moysi filii Sekir.

 Karya ini adalah salah satu daripada teks asasi mengenai geometri pada Zaman Pertengahan, dan isi kandungannya (baik dalam konteks Arab mahupun Eropah) ditemui dalam karya penulis-penulis seperti Thabit ibn Qurrah, al-Hasan ibn al-Haitham, Leonardo Fibonacci of Pisa (1250), Jordanus de Nemore (1260) dan Roger Bacon (1292). Karya-karya lain mengenai geometri yang dinisbahkan pada Banu Musa ialah tiga buah buku yang dikaitkan dengan Seksyen Kon oleh Apollonius of Perga (kurun ketiga S.M.), Buku Mengenai Usul Geometri yang Dibuktikan oleh Galen, Taakulan Mengenai Triseksyen bagi Satu Sudut (oleh Ahmad) dan Buku Mengenai Bentuk Bujur. Karya terakhir ini menyentuh elips dan mengandungi penerangan mengenai apa yang dikenali sebagai Pembinaan Gardener, satu prosedur untuk melukis elips dengan kaedah tali diikatkan pada dua buah pasak dan berdasarkan hakikat bahawa hasil tambah dua vektor jejari fokus bagi sebarang titik di dalam satu elips yang diberi adalah malar.

Akhir sekali, tradisi keluarga Banu Musa kelihatannya diteruskan lagi oleh anak kepada anak sulung, Nu'aim ibn Muhammad ibn Musa yang menulis Buku Mengenai Penyataan Geometri.
 
 
-->nak tahu apa key point penting bila kita belajar sejarah.Kita tahu kalau mereka mampu kita juga mampu.
--> Dan kalau dilihat ahlti matematik, jurutera dan astronomi tidak dapat dipisahkan dari dunia ISLAM.Biasanya kajian mereka akan bergerak selari kerana ketiga-tiga mereka ini saling memerlukan.

0 Pendapat hati:

Post a Comment

 

Fastabiqul Khairat Template by Ipietoon Cute Blog Design