Tuesday, November 11, 2008

Jauh...Hampir Pun Mungkin Tidak~


Di sebalik kehidupan Insan bernama “Muhammad”..

Kalau ada pakaian yang koyak,
Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya.

Beliau juga memerah susu kambing,
untuk keperluan keluarga maupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah,
bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan,
sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya.

Sayidatina ‘Aisyah menceritakan:
"Kalau Nabi berada di rumah,
beliau selalu membantu urusan rumahtangga".

Jika mendengar azan,
beliau cepat-cepat berangkat ke masjid,
dan cepat-cepat pulang kembali sesudah selesai sembahyang,
untuk membantu isterinya di dapur.

Pernah baginda pulang pada waktu pagi.
Tentulah baginda amat lapar waktu itu.
Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.
Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya,
"Belum ada sarapan ya Khumaira?"
(Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

Aisyah menjawab dengan agak serba salah,
"Belum ada apa-apa wahai Rasulullah".
Rasulullah lantas berkata,
"Kalau begitu aku puasa saja hari ini".
tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Pernah baginda bersabda,
"sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya".

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda sebagai ketua keluarga.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.

Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu
langsung bertanya setelah selesai bersembahyang :

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?".
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sehat dan segar".
"Ya Rasulullah… mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh,
kami mendengar seolah-olah sendi bergesekan di tubuh tuan?
Kami yakin engkau sedang sakit…", desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya.
Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?".

Lalu baginda menjawab dengan lembut,
"Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?” “Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak".

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya.

Dan dengan penuh rasa kehambaan,
baginda membasuh tempat yang dikotori si Badwi di dalam masjid,
sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt,
dan rasa kehambaan dalam diri Rasulullah saw,
menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH,
tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih dari yang lain,
ketika di depan umum maupun dalam keseorangan.

Ketika pintu Syurga telah terbuka,
seluas-luasnya untuk baginda,
baginda masih berdiri di waktu-waktu sepi malam hari,
terus-menerus beribadah,
hingga pernah baginda terjatuh,
lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
Fisiknya sudah tidak mampu menanggung
kemahuan jiwanya yang tinggi.

Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah,
"Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak,
"Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Untuk diri dan sahabat,

Walau betapa diri ini sering berkata; "hidupku, matiku, amal ibadahku, semua hanya untukMu, untuk yang menciptakan diri ini, yang tak putus-putus memberikan rezeki dan nikmat yang terlalu banyak, hingga kadang-kadang tidak sempat hamba mensyukuri segala pemberianMu". Tapi..diri ini masih dan tetap juga melakukan dosa, jauh..terlalu jauh peribadiku dengan Rasul utusan-Mu, menghampiri peribadi Muhammad pun kurasakan tidak, tapi jauh didasar hati, ingin sekali punya peribadi yang begitu merendah diri, ingin sekali punya iman yang begitu teguh, ingin sekali punya fikiran yang hebat, seperti Muhammad yang begitu kurindu, walau tidak pernah bersua muka malah bertukar bicara, tapi sentiasa diingati dalam setiap bisikan doa, insyaAllah..ameen.

0 Pendapat hati:

Post a Comment

 

Fastabiqul Khairat Template by Ipietoon Cute Blog Design