Monday, September 27, 2010

Ahli Matematik+astronomy+penyajak.

Umar al-Khayyam merupakan ahli matematik dan ahli astronomi yang terkemuka. Beliau juga terkenal sebagai penyajak, ahli falsafah dan ahli perubatan. Dalam Sejarah Falsafah Barat (History of Western Philosophy), Bertrand Russell menegaskan bahawa Umar Khayyam adalah satu-satunya sarjana yang diketahui beliau yang merupakan seorang penyajak dan ahli matematik. Umar Khayyam memperbaiki takwim suria pada tahun 1079M. Hasil kerja beliau mengenai algebra dinilai tinggi di segenap Eropah semasa Zaman Pertengahan. Di Barat, beliau paling terkenal kerana hasil kerja puisinya Rubaiyat (Puisi Empat Rangkap) yang telah diterjemah oleh Edward Fitzgerald pada tahun 1859. Versi e-book Rubaiyat dalam bahasa Inggeris tersedia di internet. Nama penuh beliau ialah Ghiyath al-Din Abu al-Fath Umar ibn Ibrahim al-Khayyami al-Nishaburi.






Umar Khayyam dilahirkan pada tahun 1044M di Nishapur, ibukota wilayah Khurasan. Secara amnya, beliau dikenali sebagai seorang berketurunan Parsi. Bagaimana pun, ada pihak menyarankan bahawa nenek-moyangnya (dari kabilah Arab Khayyam[Pembuat Khemah]) berhijrah dan menetap di Parsi. Umar Khayyam menerima pendidikan di Nishapur. Beliau juga mengembara ke beberapa institusi pengajian ternama, termasuklah apa yang terdapat di Bukhara, Balkh, Samarqand dan Isfahan. Beliau tinggal di Nishapur dan Samarqand untuk hamper sepanjang hayatnya. Umar Khayyam sezaman dengan Nizam al-Mulk al-Tusi (Wazir atau Perdana Menteri Khilafah Abbasiyah). Beliau meninggal dunia pada tahun 1123M di Nishapur.






Umar Khayyam membuat sumbangan utama dalam matematik, khususnya dalam algebra. Bukunya Maqalat fi al-Jabr wa al-Muqabalah (Rencana Mengenai Penyempurnaan dan Pengimbangan [Algebra]) mengenai algebra menyediakan kemajuan besar dalam bidang tersebut. Beliau mengkelaskan banyak persamaan algebra berdasarkan kerumitan masing-masing dan mengenal pasti 13 bentuk persamaan kubus yang berbeza. Umar Khayyam membangunkan pendekatan geometri untuk menyelesaikan persamaan, yang membabitkan satu pilihan pintar kon-kon yang sesuai. Beliau menyelesaikan persamaan-persamaan kubus dengan menyilangkan parabola dengan bulatan. Umar Khayyam merupakan orang pertama yang membangunkan teorem binomial dan menentukan pekali binomial. Beliau memajukan pengembangan binomial bagi kes apabila eksponen adalah integer positif. Umar Khayyam merujuk dalam Maqalat nya kepada hasil kerja lain mengenai apa yang kita kenali sebagai segitiga Pascal. Hasil kerja ini sudah tiada lagi sekarang. Beliau menokok nambah hasil kerja Euclid sambil memberi definisi baru bagi nisbah-nisbah dan memasukkan pendaraban nisbah-nisbah. Beliau menyumbang kepada teori garis selari.




Umar Khayyam terkenal dengan satu lagi hasil kerja yang disumbang beliau ketika bekerja untuk Sultan Seljuk, Malik Shah Jalal al-Din. Beliau diminta untuk membangunkan takwim suria yang tepat untuk digunakan bagi kutipan hasil-mahsul dan pelbagai hal-ehwal pentadbiran. Untuk menyempurnakan tugasan ini, Umar Khayyam memulakan kerja beliau di balai cerap baru di Rayy pada tahun 1074M. Takwim beliau al-Tarikh al-Jalali mengatasi takwim Georgery dan tepat sehingga dalam sehari bagi 3770 tahun. Khususnya, beliau mengukur panjang setahun sebagai 365.24219858156 hari. Ini menunjukkan bahawa beliau mengakui kepentingan ketepatan dengan menberi keputusan kiraan beliau sehingga 11 tempat perpuluhan. Sebagai perbandingan, panjang setahun pada zaman kita ini ialah 365.242190 hari. Angka ini berubah sedikit pada tempat perpuluhan ke-6, misalannya, dalam kurun ke-16 ia adalah 365.242196 hari.






Umar Khayyam juga menyumbang dalam bidang sains lain. Beliau memajukan kaedah bagi penentuan tepat bagi graviti tentu. Beliau menulis dua buah buku dalam metafizik, Risalah Dar al-Wujud dan Nawruz Namah. Sebagai seorang penyajak, Umar Khayyam terkenal dengan Rubaiyat nya. Tema-tema beliau melibatkan pemikiran-pemikiran mistik dan falsafah yang kompleks.






Sebanyak 10 buah buku dan 30 monograf Umar Khayyam yang terselamat. Ini termasuklah empat buah buku mengenai matematik, sebuah mengenai algebra, sebuah mengenai geometri, tiga buah mengenai fizik, dan tiga buah mengenai metafizik. Beliau telah membuat sumbangan besar dalam pembangunan matematik dan geometri analisis, yang dimanfaatkan Eropah beberapa abad kemudian.
 
##kini kita lebih mengenali albert einsten,Jominy dan banyak lagi dari tokoh islam kita sendiri.
##sedangkan ilmu itu berasal dari ummat islam.

0 Pendapat hati:

Post a Comment

 

Fastabiqul Khairat Template by Ipietoon Cute Blog Design