Thursday, September 16, 2010

buku Pahrol MohamadJuoi-penulis idolaku

1. Dilema Melayu: Kurang Fikir atau Kurang Zikir Pertembungan “Islam-Melayu dan Melayu-Islam” mutakhir ini lebih dibauri dan dikaburi oleh “presenting problems” berbanding “the real problems”. Mungkin ini disebabkan wujudnya ramai golongan yang berkepentingan sama ada dalam parti, pertubuhan dan perkumpulan orang-orang Melayu. Golongan “opportunists” Melayu ini berselindung di sebalik perjuangan agama atau bangsa untuk terus mendapat “keuntungan” jika Melayu-Islam terus berkrisis. Dan kemungkinan ini juga disebabkan wujudnya golongan fanatik agama atau chauvinis bangsa yang sudah lebur sifat rasional, kasih sayang dan adab susilanya dalam menghadapi perbezaan pendapat.Sesungguhnya, semua perkara yang disebutkan di atas akan menjadi teras penulisan dalam tajuk-tajuk berikutnya. Pada tajuk-tajuk yang lebih khusus itu, saya akan memperincikan apa yang disentuh secara sepintas lalu dalam mukadimah ini. Apa yang pasti ialah buku ini mengetengahkan satu pola pemikiran yang konsisten walaupun pada subjek dan isu yang pelbagai. Dan pemikiran ini dihidangkan secara mudah walaupun gagasan¬nya besar dan adakalanya agak ilmiah.

Kritikan, teguran, pujian atau sekadar pandangan dalam buku ini mengundang respon yang sama terhadap saya. Oleh itu, saya dengan hati terbuka menerimanya. Kita tidak boleh taksub ketika menegur ketaksuban orang lain. Justeru, panda¬ngan yang saya kemukakan nanti adalah lahir dari hati yang penuh sedar bahawa pasti ada pandangan lain yang lebih tepat.
Soal kepimpinan dan politik akan menjadi pendahulu bicara saya. Diikuti oleh soal pendidikan, kemudian disusuli oleh isu-isu yang berlaku dalam negara dan akhirnya menjengah kepada persoalan antarabangsa. Sesungguhnya jika kepimpinan telah betul dan mantap, maka agenda mendidik umat akan dapat di¬laksanakan dengan betul dan tepat. Dengan ini akan ter¬bentuk¬lah kekuatan dalaman untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam negara. Hanya setelah itu barulah kita akan mampu memberi sumbangan menyelesaikan masalah antarabangsa.
Dan tumpuan saya lebih terarah kepada ke¬pimpinan parti-parti politik pimpinan Melayu-Islam justeru merasakan ia tetap relevan dalam dekad-dekad yang mendatang. Namun dimensi pandangan “ketiga” ini tentulah agak sedikit berbeza daripada apa yang dilihat oleh orang-orang dalam parti sendiri. Anggaplah perbezaan itu satu sumbangan justeru tidak ada siapa pun yang tidak memiliki “blind spot” dalam penilaian dan pemerhatiannya. Jika apa yang terkandung dalam buku ini benar, terimalah. Sebaliknya, jika salah… tolaklah. Jika benar ia boleh “membetulkan” kesalahan kita. Jika salah akan menambah tingkat “kebenaran” kita. Insya-Allah.

buku012. Dua hati, satu rasa

Pada umumnya, kisah-kisah samada yang saya paparkan menerusi dialog mahupun monolog di dalam buku ini, adalah gugusan pengalaman dan gelombang rasa sepanjang menjalani kehidupan, samada sebelum atau semasa menempuh alam rumah-tangga. Ia adalah adunan antara teori dan amali, impian dan mimpi, realiti dan fantasi. Walaupun sketsa ataupun kisah itu hanya satu hiasan latar dan kiasan imiginasi, namun pada hakikatnya apa yang cuba saya paparkan tetap kebenaran. Insya-Allah.
Sepanjang kembara dalam usia lewat 40′an saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja. Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun ‘body language’ – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka itulah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan.
Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak resminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumahtangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah.
Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibok membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resepi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci maki dan hasad dengki manusia.
Menulis bukan sekadar memberi maklumat atau menghiburkan, tetapi yang lebih penting untuk meyakinkan dan mempengaruhi. Buku ini walaupun berbicara seadanya, namun itu tidak bermakna mesej dan misinya juga seadanya. Tidak. Kita harus berbicara secara serius bila bercakap tentang rumah-tangga, justeru itu adalah nukleas segala-galanya. Bila menyentuh soal rumah tangga kita akan bercakap tentang ibu-bapa – pihak yang bertanggungjawab menjadikan seorang anak itu samada Muslim, Nasrani, Yahudi atau Majusi. Rumahtangga adalah tonggak generasi.
Rumahtanga kerap digelar ‘syurga dunia’. Berjaya menikmati syurga di dunia yang sementara ini adalah petanda baik untuk dapat menikmati syurga yang abadi di akhirat nanti. Namun, syurga di dunia ini (seperti yang saya katakan tadi) bermula di dalam rumah kita – Bainati Jannati. Rumah tangga yang aman damai, penuh kemesraan dan kasih sayang adalah bayangan syurga… Di situlah penghuninya menempa Qalbun Salim – hati yang sejahtera, perisai ampuh untuk menahan bakaran api neraka pada hari di mana anak-pinak dan harta tidak berguna (Padang Mahsyar).
Sekadar meminjam kata-kata hikmah daripada Mother Teresa, ketika beliau ditanya, “bagaimanakah hendak melahirkan sebuah dunia yang aman?” Beliau secara rengkas menjawab, ” pulanglah ke rumah masing-masing dan cintailah keluarga anda.” Malangnya, kerap terjadi seorang Presiden yang berbicara tentang keamanan, pulang dengan masam muka bertemu anak-anaknya di rumah. Perdana Menteri yang kononnya juara kedamaian, menjadi suami tuli dan bisu atas luahan isteri sendiri. Betapa ramai para pemimpin yang begitu hebat mengetuai organisasi dan masyarakat, kecundang dalam memimpin keluarganya.
Majalah Fortune pernah menjalankan kajian ke atas rumah tangga para CEO yang bertaraf dunia. Hasilnya mengejutkan! Hanya 10% sahaja daripada mereka yang tidak mengalami keruntuhan rumah tangga. Apalah ertinya jika kita berjaya meraih keuntungan berbilion-bilion dollar sekiranya gagal memimpin rumahtangga sendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, jika kita tidak dapat menikmati kebahagiaan dalam rumahtanga ertinya kita tidak akan menikmati kebahagian dalam kehidupan!
Saya terpanggil untuk menyumbang sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini. Soalnya ialah bukan samada saya berjaya atau gagal dalam misi ini, tetapi keazaman dan usaha. Tidak ada kegagalan dalam usaha yang murni… yang ada hanyalah ‘kejayaan yang ditangguhkan’. Mudah-mudahan usaha yang tidak sempurna ini akan ada pihak yang akan menyempurnakannya. Pasti ada kesalahan dan kesilapan, insya-Allah bakal ada orang yang akan membetulkannya. Dengan nama Allah… bacalah!

3. buku03Tentang Cinta 

Sudah ditakdirkan, akhirnya saya menulis tentang cinta. Walaupun saya sebenarnya sedang menyiapkan buku DILEMA MELAYU-ISLAM: KURANG FIKIR, KURANG ZIKIR tetapi sahabat saya terus mendesak juga untuk menyiapkan buku ini: Cintailah CINTA. Katanya, “tulisan awak tentang cinta dalam majalah I (terbitan Karangkraf) dan juga Anis (terbitan Galeri Ilmu) memang menyentuh, sudah ada ‘follower’nya tersendiri. Kenapa tidak diangkat subjek-subjek yang baik itu menjadi sebuah buku?”
Anak saya sendiri pernah memberikan salinan photostat artikel saya yang telah diedarkan dikalangan pelajar-pelajar di sebuah IPT tempatan yang bertajuk Cinta Remaja: Fitrah jangan menjadi fitnah. Saya bersyukur. Walaupun itu hanya satu indikator kecil namun bagi saya sudah cukup untuk membutikan bahawa usaha saya selama ini disambut baik. Kenapa tidak saya hargai semua itu dengan usaha yang lebih besar dan serius? Umpamanya menulis sebuah buku khusus tentang cinta…
Saya senyum, akhirnya bersetuju memenuhi hajat sahabat saya. Memang, saya sudah lama ingin menulis tentang cinta – bahan-bahan telah lama disiapkan. Tapi terus jadi koleksi peribadi. Namun saya akui, saya menulis bukan kerana desakan dari luar tetapi letusan dari dalam. Saya sendiri punya anak remaja. Berdepan dengan persoalan dan perkembangan mereka. Cinta juga salah satunya. Cinta sebenarnya bukan subjek berkala, tetapi ia subjek sepanjang masa. Mudah-mudahan tulisan ini menjadi ibadah sekaligus menyebarkan ilmu untuk diabadikan sebagai amal jariah. Mudah-mudahan ada pahalanya untuk dihadiahkan kepada kedua ibu-bapa dan semua yang telah berjasa kepada saya. Amin.
Dan anehnya, subjek cinta yang saya tulis ini menjurus kepada cinta yang akan, sedang dan telah dilalui oleh golongan remaja. Maksudnya cinta antara lelaki dan perempuan. Sedangkan, usia saya sudah jauh meninggalkan alam remaja dan segala kisah cintanya. Namun, kata orang menulis melalui pengalaman (samada oleh diri sendiri ataupun oleh orang lain) lebih berkesan berbanding berdasarkan teori dan ilmu semata-mata. Saya berjanji, saya tidak akan hanya berlegar-legar di permukaan ‘presenting problem’ tetapi akan menyelam ke dasar ‘real problem’ – kita akan bertolak dari daerah cinta yang kecil kepada CINTA yang besar dengan melalui segala liku-likunya. Insya-Allah.
Dan sudah menjadi sunnahtullah, seseorang tidak akan dapat melihat dengan jelas dan tepat apabila sesuatu objek berada terlalu hampir dengan matanya… perlu dijauhkan sedikit, barulah segalanya dapat dilihat dengan lebih jelas dan nyata. Ya, saya kini jauh daripada cinta remaja dan mungkin kerana itulah agaknya apa yang dulunya ‘kabur’ sekarang sudah sangat jelas buat saya menulis dan mentafsirkannya.
buku044. Duhai yang Tersayang.
Jika hati tidak mahu, jika hati tidak mampu, walaupun semudah mana ia tidak akan dapat dilakukan. Maka ketika itu walaupun pelbagai tips dari pakar motivasi sebaik manapun tidak akan dapat menghasilkan sebuah senyuman. Tidak mungkin kita dapat merasa kemanisan buah jika kita tidak menanam dan menjaga pokoknya! Tips, panduan dan formula-formula tentang kebahagian keluarga hanya akan terlaksana jika iman dan syariat terlebih dahulu ditanam dan disuburkan dalam sesebuah keluarga. Sehubungan dengan itu Rasulullah SAW telah bersabda: “Takuti kamu akan Allah di dalam memimpin isterimu.”
Di sinilah letaknya kunci ke arah pelaksanaan pakej kebahagiaan bagi sebuah keluarga. Islam memberi penyelesaian menjurus dan tembus kepada punca pemasalahan bukan mengubat gelaja-gejala atau akibat-akibatnya berkisar pada formula-formula pinggiran. Sebagai hamba Allah, merujuk kepada Allah bererti pengabdian secara total kepada kehendak dan peraturannya. Dan bila ini ingin dilakukan kita terpaksa kembali ke pangkal segala urusan yakni beriman kepada-Nya!
Sajak-sajak dalam buku “Untuk Mu yang tersayang” ini adalah kata-kata puitis untuk menggambarkan apa yang saya coretkan dalam muqaddimah ini. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia dapat memindahkan cebisan ilmu dan rasa untuk panduan kita bersama. Selamat membaca, selamat menghayatinya!

0 Pendapat hati:

Post a Comment

 

Fastabiqul Khairat Template by Ipietoon Cute Blog Design