Friday, October 29, 2010

Transcendence Minima~

siri 1: Tahap (-7.00)

DUNIA menyimpan banyak misteri yang tidak terungkai meskipun penyelidikan dijalankan tanpa henti bagi menemui jawapan terhadap pelbagai persoalan. Teori Big Bang menjelaskan alam semesta tercipta daripada satu letusan berapi universal yang menjadikan jutaan galaksi terbentuk bertaburan di angkasa raya. Proses pengembangan galaksi terus berkembang tanpa henti hingga hari ini. Di gugusan galaksi Bima Sakti, perubahan dan pencantuman atom yang berselerak di angkasa raya memberikan keputusan terhadap satu planet (Bumi) yang terus berkembang apabila atom hidrogen bercantum dengan atom oksigen menghasilkan satu unsur baru yang diformulasikan menjadi H2O iaitu air. Asas hidupan biologi di bumi. Allah menjadikan bumi dengan kuasa yang sangat dahsyat.

Melalui penyelidikan sains juga, didapati bahawa semua hidupan biologi di bumi tercipta daripada hidupan unisel yang pada awalnya hidup di dalam air. Bermula dengan hidupan unisel, ia terus berkembang menjadi hidupan dwi-sel dan seterusnya multi-sel yang terbina daripada kombinasi jutaan atom membentuk unsur baru, sel dan membentuk jasad-jasad yang lebih teguh dan kompleks. Detik itu juga, pelbagai hidupan mula hidup secara berperingkat di bumi yang makmur dengan kehendak Allah, meskipun ketika sebelum Adam diciptakan. Maka, apakah makhluk yang hidup di planet ini sebelum turunnya Adam memijak tanah dan menjadi khalifah di bumi?

Ada yang berpendapat bahawa spesies haiwan gergasi (dinosaur) wujud di bumi selama berjuta tahun sebelum turunnya Adam. Namun, pendapat itu dibina 100 peratus daripada perkiraan saintifik yang tidak bersandarkan kepada mana-mana kitab suci. Ia adalah pendapat di kalangan para saintis atheis tegar dari Barat yang tidak mempercayai mana-mana kitab agama, malah tidak mempercayai kewujudan ‘The Most Powerful’ iaitu Allah, Tuhan yang Maha Pencipta. Apa benarkah dinosaur itu makhluk tertua yang pernah menghuni bumi sebelum Adam?


(Allah berfirman) “Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”, mereka (para malaikat)  berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah.” (Quran, al-Baqarah: 30)

Berdasarkan maksud ayat 30 yang dipetik daripada surah al-Baqarah, Allah merakamkan pertuturan-Nya bersama para malaikat mengenai sebelum penciptaan Adam. Melalui ayat itu, malaikat bertanya kepada Allah dengan pertanyaan: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan..”

Penekanan terhadap ‘orang yang akan membuat kerosakan’ itu seolah-olah memberi petunjuk (clue) bahawa sudah ada makhluk sebelum manusia yang menghuni bumi, dan makhluk itu pula pernah membuat kerosakan di bumi. Manakala 'orang' itu pula merujuk kepada makhluk yang berakal, tidak semestinya manusia. Keadaan itu menyebabkan para malaikat bimbang dengan ‘siri kerosakan seterusnya’ dan bertanya kepada Allah yang jika dijadikan dalam bentuk ayat mudah, ia mungkin berbunyi seperti: “Kenapa mahu mencipta makluk lain di bumi kerana setiap makhluk yang menghuni bumi hanya akan melakukan kerosakan?” – MAAF JIKA PENDAPAT INI DAIF DAN SALAH.

Maka, makhluk apakah yang pernah menghuni bumi sebelum Adam dijadikan khalifah? Untuk menjawab persoalan itu, kita perlu mengumpul fosil-fosil pra-sejarah, kemudian melakukan ujian radio-karbon bagi menentukan usia fosil sebelum membuat kesimpulan. Sebelum itu juga, kita harus membantu akal kita dengan keterangan-keterangan al-Quran dan Hadis supaya kesimpulan yang dibuat itu sentiasa terarah dalam titik yang wajar. Untuk menjangkau transcendence, kita perlu diterangi dengan sebahagian kecil ilmu Allah iaitu al-Quran. Kitab al-Quran hanya sebahagian kecil yang menerangkan ilmu Allah kerana ilmu Allah lebih luas daripada apa yang disampaikan dalam al-Quran. Kita pula hanya mampu menjangkau subjek-subjek yang diterangkan dalam al-Quran sahaja, manakala bagi subjek-subjek yang tidak diterangkan dalam al-Quran pula adalah ilmu Allah secara mutlak dan kita tidak akan mampu menjangkau pengetahuan melebihi tahap transcendence meskipun pada tingkat paling minimum. Kita hanya mampu berada pada tingkat paling minimum dalam lapisan transcendence walaupun sifat ingin tahu yang ada pada diri manusia sememangnya melebihi transcendence, namun akal kita ada batasnya. Batasnya ialah tidak melebihi julat paling minimum dalam skala transcendence. Akal manusia hanya bercahaya dalam nyalaan paling malap, namun kemalapan itu menjadi lebih terang dan berharga apabila disinari iman dan takwa. Segala puji-pujian kepada Allah yang memiliki segala pengetahuan.

Diharap, penyampaian dengan menggunakan bahasa mudah ini akan memudahkan pemahaman semua..kami tidak mahu ada yang keliru dengan penggunaan jargon atau terma yang menyulitkan pemahaman.



BACA DENGAN TENANG & FAHAMI BETUL-BETUL....
 
sumber : umat terakhir

0 Pendapat hati:

Post a Comment

 

Fastabiqul Khairat Template by Ipietoon Cute Blog Design